Sunday, 8 April 2018

Embun di Berembun.

Assalaamualaikum W.B.T,

Ini adalah aktiviti hiking group kami yang kedua. Yang pertama adalah di gunung Datuk. Dan semua ini tercetus hasil idea ketua kumpulan kami, saudara Fahmi ( ketua kumpulan yang dilantik secara paksa sebenarnya, kerana kami merasakan beliau adalah orang yang paling layak untuk memegang jawatan ini, walaupun berkali-kali beliau menolak dan menafikannya ). 

Pada mulanya, terlalu banyak idea yang di lontarkan oleh ahli kumpulan. Gua Batu Maloi, Gunung Nuang, Bukit Kutu, antara yang ada didalam list. Tetapi memandangkan tempat-tempat ini banyak halangannya, jadi kami memilih Gunung Berembun yang terletak di Jelebu. Apa yang menarik tentang gunung ini, terdapat bangkai pesawat B24 Liberator milik tentera British yang terhempas pada 1945, dan mengorbankan kesemua lapan krew nya. Itulah yang lebih mengujakan kami untuk meneroka gunung ini. 

19 Feb 2018, bermula la perjalanan kami. Saya memandu dari Paka bersama Fahmi yang datang dari Bachok. Kereta comel nya di parking di rumah saya. Kami singgah di Bahau, menjemput Mafa, berhenti makan tengahari, dan seperti biasa, N. Sembilan sangat sinonim dengan masakan lemaknya. Dalam perjalanan, singgah di pintu masuk gunung Angsi. Gunung Angsi ini adalah projek kami yang tak jadi. Dan mungkin akan terus tak jadi. Kerana ada antara ahli group kami yang merasakan Gunung Angsi tidak lagi mencabar. ( Ada sikit gaya berlagak, maklum la)






Kami sampai di Jelebu sudah agak petang. Hartini homestay adalah pilihan kami untuk bermalam, memandangkan penginapan ini yang paling bajet dan berdekatan Gunung Berembun. Semua ini sudah di uruskan oleh Abu. Abu yang paling dekat, sampai agak lewat. Alasannya anak nak ikut, itu yang kelewatan ( dalam brutalnya Abu, kalah juga dengan anak). 





Orang yang incharge tempat ini dikenali sebagai Pak Uda. Beliau macam dah boleh agak tujuan kedatangan kami. Homestay ini dekat sahaja dengan Gunung Berembun. Di dalam kawasan ini, ada banyak unit penginapan, termasuk spa. Dengan kadar RM150/malam, agak berpatutan. Lagipun kami berempat.  












Abu sampai juga akhirnya, membawa bersama lemang dan rendang buatan sendiri. Saya baru tahu yang lemang nogori berwarna kuning rupanya. Walaupun begitu, tak lah pedas macam masakan nogori yang lain. Rasanya, kalau dah namanya rendang, memang begitulah, tak boleh lari dari serai dan daun kunyit. 






Malamnya ke Mydin Senawang. cari barang keperluan ke gunung. Lebih kepada barang makanan sebenarnya. Abu bertindak sebagai pemandu pelancong. 




Habis shopping, kami pergi dinner. Bila pergi ke tempat orang, semestinya kita akan mencari makanan yang 'rare'. Satay Tulang!! Pertama kali saya dengar dalam hidup saya. Itulah cadangan yang di cetuskan oleh Abu. Saya terbayangkan tulang lembu yang dijadikan satay. Macamana agaknya? 


Satay tulang adalah makanan yang popular di Senawang. Gerainya di tumpang di Al Hussain Bistro. 




Inilah rupanya satay tulang. Oo, rupanya tulang ayam. Ketulan ayam bersama tulangnya dijadikan satay. Apa yang menariknya, tulangnya sangat lembut. Boleh di makan begitu saja. Mesti ada resepi rahsia yang menjadikan tulangnya begitu lembut. 


Malam tu kami tidur kekenyangan. Lemang dan rendang Abu bersatu dengan satay tulang didalam perut. Tapi tidur kami tidak begitu lena. Awal-awal pagi sudah terjaga. Mafa terlebih dahulu terjaga. Dulu semasa ke gunung Datuk, pun macam ni. Mesti saya akan terbangun awal. Sangat awal. Dan bila sorang terjaga, orang akan lain akan terjaga sama. Mungkin kerana keterujaan. 


Sebaik selepas solat Subuh, kami terus bergerak ke kaki gunung Berembun. Cuaca masih gelap. Sebelum cerah-cerah tanah pun. 
Gunung Berembun adalah gunung yang agak popular dikalangan pendaki dan terletak di daerah Jelebu. Ia mempunyai ketinggian 1014 meter dan bersebelahan dengan gunung Telapak Burok. Di gunung Telapak Burok inilah terdapat bangkai pesawat British yang terhempas pada tahun 1945. Menurut Mafa yang pernah ke sini, jarak trek dari pintu masuk gunung Berembun ke tapak bangkai pesawat di Telapak Burok lebih kurang 9 km. So, maknanya pergi balik dalam 18 km. Wow. Sungguh mencabar minda dan fizikal. 



Tongkat tu kami jumpa di kaki gunung, yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu.
Paling kanan, Fahmi selaku ketua kumpulan, yang dilantik secara paksa. 

Ekspedisi kali ini, cuma kami berempat. Ahli-ahli yang lain ada komitmen lain. Tapi itu semua bukan penghalang. Projek tetap di teruskan. 








Selepas 45 berminit berjalan, kami sampai di Lata Berembun. Ada kawasan air terjun yang sangat cantik. Kawasan ini belum di cemari oleh pengunjung memandangkan ia terletak jauh ke dalam hutan. Masih bersih dan suci. 












Perjalanan di teruskan ke Gua Kambing. Trek ketika ini masih agak landai. Kami mendapat info yang Gua Kambing ini di huni satu pasangan Chinese yang agak berusia dan telah tinggal disini kira-kira tiga tahun. Tetapi ketika kami sampai, uncle dengan aunty ni tiada. Hanya ada peralatan memasak. Kenapa gua ini di namakan Gua Kambing, dan kenapa Uncle dan Aunty Chinese tu tinggal di sini, menjadi persoalan yang tidak terungkai. 










Makanan yang sangat membantu sebagai tenaga segera. Choki choki. 
Selepas gua kambing, bermula la pendakian yang sebenar. Trek agak mencanak. Badan bagaikan di simbah peluh. Basah lenjun luar dan dalam. 





Kami sampai ke puncak Berembun selepas 3 jam pendakian. Agak laju juga bagi amatur seperti kami. Tetapi misi kami belum lagi sampai ke tujuannya. 















Abu paling 'win' dari segi kasut. Hanya berbekalkan adidas kampung berharga RM5.90.




Kami meneruskan pendakian kami ke puncak Telapak Burok, menuju ke 'crash site'. Hanya roti dan choki-choki sebagai pengalas perut. Air mineral 1.5 liter hampir kehabisan. Permandangan dari puncak gunung ini, agak biasa, tiada apa yang menarik.   









Akhirnya kami sampai ke 'crash site', tempat terhempasnya pesawat B24 Liberator milik tentera British pada tahun 1945. Walaupun tragedi ini telah lama berlalu, tetapi serpihan besi dari badan pesawat masih ada. Menurut maklumat yang kami terima, pesawat ini membawa 8 orang krew, tetapi hanya 6 yang dijumpai, kerana kokpit yang menempatkan pilot tidak dijumpai sehingga ke hari ini. Maklumat lanjut tentang terhempasnya pesawat ini boleh di baca di sini dan di sini




Untuk pergi ke kawasan bangkai badan pesawat, kami terpaksa menuruni cerun yang agak curam dan berlumpur. Keadaan trek agak licin dan basah. 








Kami memerhatikan serpihan-serpihan dari pesawat. Selama berada disini, ada satu macam perasaan yang susah di terjemahkan dengan kata-kata. Teruja, terharu, sedih pun ada. Bayangkan selepas 67 tahun, baru lah mangsa-mangsa pesawat ini disemadikan dengan aman. Dan bayangkan juga perasaan waris-waris mangsa, yang berpuluh-puluh tahun menunggu khabar berita kehilangan saudara-saudara mereka. 







Abu sedang memeriksa enjin. Kalau-kalau boleh 'dihidupkan.' 














Kami berada di sini lebih kurang sejam. Ambil gambar sebanyak yang boleh, kerana pengalaman sebegini mungkin tidak akan lagi kami perolehi. 

Kami meninggalkan 'crash site' berpatah balik menuju ke puncak Berembun. Perjalanan kali ini lebih mudah, kerana trek mula menurun. Tidak seperti masa mula-mula pendakian. Sampai di puncak Berembun, berehat seketika, menghabiskan bekalan yang ada. Singgah  di Gua Kambing kembali untuk solat. 


Perjalanan diteruskan lagi. Ketika ini kaki dah mula rasa sengal. Mental dah mula koyak. Tenaga bagai di perah, memang letih yang amat. Singgah di Lata Berembun, kami mandi dan berendam sepuasnya. Gambar kami mandi tidak boleh di 'publish' kan di sini, sebab agak seksi dan menggoda gitu.



Kami sampai di kaki gunung hampir pukul 6 petang, setelah berjalan sejauh 18 kilometer. Penat dan letih tapi kepuasan tergambar di wajah kami. 

Hantar balik 'tongkat' ni ke tempat asal. Memang banyak gunanya.
Besar sungguh pahala orang yang wakafkan tongkat tu. 





Geng-geng malim gunung ( kononnya la)



Seperti satu kemestian, setiap kali turun dari gunung, kami akan pekena nasi kandar di Pelita. Makan ketika lapar dan letih, menjadikan hidangan  ini sangat sedap. 


Berakhirlah ekspedisi kami. Banyak benda yang kami belajar. Semangat setiakawan, kerjasama, saling memahami, adalah ramuan utama dalam sebuah persahabatan. Suatu hari nanti, kalau diizinkan Allah kami panjang umur, bertemu kembali di hari tua, sambil-sambil minum teh, kami akan kenangkan kembali pengalaman ini.