Monday, 25 January 2016

Sepohon durian dan mangga yang 'degil'.

Assalamualaikum W.B.T.


Suatu masa dahulu, di rumah ayah dan bonda di kampung, ada sepohon durian yang sangat 'degil'. Degil kerana dia tidak mahu berbuah walaupun arwah ayah sentiasa membaja dan menyiramnya. Saya masih ingat, pokok itu betul-betul di tepi rumah. Suatu hari kerana terlalu geram, arwah ayah menakik batang pokok durian tersebut sehingga hampir putus. Tetapi tidaklah sampai ia tumbang. Sambil menakik, ayah memarahi dan mengugut pokok tersebut, kalau ia tidak mahu berbuah, nampak gayanya akan tumbang dan jadi abu lah ia. Ini petua, kata arwah ayah. Sebab pokok adalah makhluk Tuhan yang punya perasaan seperti kita. 
Subhahallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Dengan izin Allah, tahun berikutnya pohon durian tersebut berbuah dengan lebatnya. Mungkin pohon durian itu takut di tebang sekiranya tidak berbuah. 




Di rumah saya, ada sebatang pokok yang degil. Tapi ia adalah pohon mangga. Pohon mangga tersebut hanya berbuah sekali, itupun sebiji sahaja. Selepas itu ia seperti merajuk. Tapi takkannlah begitu rajuknya, kerana saya sentiasa membajanya. Saya cuba baja organik, hasilnya sama. Fruit inducer di tabur, pun masih dengan kedegilannya. Usahkan berbuah, berbunga pun tidak. Saya renung pohon mangga tersebut, sekilas saya teringat petua arwah ayah. Pantas, saya pun mengulangi apa yang arwah ayah buat pada pohon duriannya. Saya melihat sekeliling, janganlah ada orang yang nampak. Macam kurang waras pula rasanya.

Allahu Akbar, memang benar, dengan izin Allah pohon mangga itu berbunga selepas di ugut dan di takik. Kedegilannya akhirnya lebur selepas menerima amaran akan di tebang. 


Sesungguhnya saya kagum dengan arwah ayah. Ilmu pertaniannya sangat hebat.