Tuesday, 26 April 2016

Tōkyō e yōkoso

Assalamualaikum w.b.t,


Alhamdulillah, sampai juga akhirnya ke Tokyo. Percutian yang di rancang secara spontan dengan kawan-kawan, menjadi kenyataan. Kali ini tak bawa famili, pergi dengan geng-geng secara mem 'bujang'. 

Idea ini asalnya timbul secara spontan antara saya dengan Bahar. Untuk melengkapkan lagi korum, kami menjemput dua orang lagi kawan kerana rasanya empat orang lebih praktikal. Dan akhirnya saya, Bahar, Fahmi dan Nash merealisasikan rancangan spontan ini. Percutian ini berkongsepkan ala-ala backpackers. Pada mulanya kami berhajat untuk pergi senyap-senyap dari pengetahuan rakan-rakan yang lain, tetapi kerana kesilapan teknikal, rahsia itu tidak lagi menjadi rahsia. Pecah juga akhirnya. Dan selepas 3-4 bulan merancang, kembara pun bermula......



HARI PERTAMA

Kami pergi pada 21/03/16 dan pulang pada 24/03/16. Flight ke Tokyo pada 21/03 pukul 1445hrs dari KLIA2. So, pagi-pagi dah gerak ke KL. 


Tol Paka, pukul 6.15 pagi. 


Saya singgah di Temerloh, jemput Nash, sebelum meneruskan ke Putrajaya ride and park. Memang saja park kereta kat sini, lebih murah. Ambil ERL ke KLIA2. 


Sampai di KLIA2 lebih kurang pukul 11.30 pagi. Fahmi sampai lebih awal dari Kota Bharu dengan flight. Bahar on the way dari Segamat. Saya kira Bahar paling tepat dengan tema kami, 'percutian ala-ala backpackers', kerana dia hanya datang ke KLIA2 dengan menaiki bas. Salute Bahar. 




Fahmi ( tengah ) sedang set-up Go Pro nya. 





Saat-saat terakhir sebelum meninggalkan bumi Malaysia untuk sementara.






Perjalanan dari KL ke Tokyo mengambil masa selama 7 jam, agak lama juga. Seat Air Asia faham-faham jer la. Nak tidur pun tak berapa selesa. 




Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Haneda lebih kurang pukul 10.00 malam waktu Tokyo. Waktu di Jepun hanya cepat 1 jam dari Malaysia. Oleh kerana sudah lewat malam, dan ini adalah style backpackers, kami hanya tidur di airport pada malam itu sementara menunggu pagi. Yang bagusnya di airport ni, surau disediakan tetapi tidak di benarkan tidur di sini. Ramai juga orang yang tidur di airport selain kami. 




HARI KEDUA


Subuh seawal pukul 4.15 pagi di Tokyo. Matahari pula muncul seawal pukul 5.45 pagi. Dan seawal itu juga la kami meneruskan misi kami yang seterusnya. 



Langkah pertama, survey train ke Odaiba. Di situ tarikan utamanya ialah patung Gundam gergasi. Gundam adalah siri kartun yang popular di Jepun. 
Public transport utama di sini adalah keretapi. Sistem train di Jepun agak berselirat. Memang pening pada mulanya. Kena survey dengan teliti. Walaupun kami sudah buat homework tentang train di Jepun  sebelum ke sana, tetapi masih lagi keliru tentang sistem trainnya. 






Sistem train di Jepun memang 'punctual'. Jika di jadualkan sampai pada pukul 08.20, maka ia akan sampai tepat pada pukul 08.20. Ketepatan masa adalah perkara yang sangat di pandang serius di Jepun. Kerana itu orangnya berjalan laju-laju. 
Dan kerana tidak 'alert' tentang masa perjalanan train, kami telah tersalah menaiki train hingga tersesat ke Yokohama. Rupa-rupanya landasan yang sama turut dikongsi oleh train yang berlainan. So, kena perhatikan masa ketibaan train yang kita hendak dinaiki. 




Pertama kali melihat permandangan di luar airport, keterujaannya tidak dapat di gambarkan dengan kata-kata. Serius, bandarnya sangat bersih. Teratur dan sistematik. Sukar untuk melihat walaupun seketul sampah. 












Kami akhirnya sampai di Odaiba. Odaiba ni sebenarnya adalah pulau buatan. Di sini kebanyakan bangunannya bertemakan futuristik.
Misi utama menjejak patung Gundam yang besar itu. Masalah utama di Jepun, orang-orangnya tidak pandai berbahasa Inggeris. Kami pernah cuba untuk bertanya orang di situ, tetapi kebanyakannya cuba mengelak dari kami. Sebab utamanya, masalah bahasa. 



Vending machine ada dimana-mana.


Design bangunan yang berkonsepkan futuristik.
Setelah melilau beberapa ketika, jumpa juga patung Gundam itu. Memang besar. 





Berhampiran patung Gundam, terdapat store yang menjual mainan bertemakan Gundam. Tapi tak beli, sebab harganya agak mahal. Lagipun saya bukan lah Gundam collector. 








Bunga sakura baru berkembang.
                         


Kami menghabiskan masa pusing-pusing di sekitar Odaiba. Cuaca kelihatan seperti panas terik, tetapi sebenarnya suhu ketika ini hanya lah 14 deg C. Memang sejuk. Patut la awek Jepun dengan selambanya lepak tengah padang. 


Di bekakang sana adalah Fuji TV. Tak tau kenapa ramai orang beratur.




Bangunan telekom. Juga berkonsepkan futuristik. 





Akihabara, dikenali sebagai bandar elektronik. Segala jenis barang elektronik ada di jual di sini. Hiasan-hiasan bangunannya berkongsepkan video game. Kami hanya pusing-pusing di sini. Ini di kira 'salam perkenanalan'. 











Kami menginap di service apartment selama berada di sini, booking melalui airbnb.  RM600++ untuk 2 malam. Apartment ini terletak di Komagome. Tidak jauh dari stesyen train JR komagome. Kami mencari tempat ini dengan hanya berpandukan direction bergambar yang di email oleh tuan rumah. Jarak dari stesyen Komagome lebih kurang 500 meter. 



Pekan yang aman dan bersih semestinya. 


Alhamdulillah, sampai di apartment yang kami tempah. Lokasinya agak tersorot, tapi kawasan sini sangat aman dan tenang seolah-olah tiada penghuni. Tidak ada kedengaran bunyi bingit di kawasan kejiranan. 


Apartment ini lebih mirip kepada bilik sebenarnya. Hanya ada satu katil bersaiz queen dan matress. Ada di sediakan mesin basuh dan dapur. Cukup la untuk kami berempat. 






Kebanyakan tandas moden di Jepun menggunakan suis sepenuhnya. 






Sebelah petangnya setelah merehatkan badan, kami meneruskan lagi jelajah Tokyo . Kali ini ke Shinjuku. Shinjuku merupakan pusat pentadbiran bagi bandar Tokyo. Di sini juga banyak terdapat gedung membeli belah. 




Suasana di kejiranan apartment kami di sebelah petang sangat aman. Kita tidak akan mendengar sebarang bunyi yang tidak diingini. Memang tidak akan dengar la bunyi mat rempit memecut motosikal. 
Kami sudah agak mahir dengan sistem keretapi di sini, setelah study laluan transitnya.   Moga-moga tidak ada lagi tersalah naik train. 



Orang-orang Jepun memang berjalan dengan laju. Semua kelihatan seperti mengejar masa. Kami cuba untuk mengikut rentak mereka, tapi memang tak sempat. Itu memang style dia orang la. 











Shinjuku memang sangat happening di waktu malam. Gedung membeli-belah ada di mana-mana. Butik UNIQLO, salah satu brand Jepun yang sangat popular, bersepah. Tapi tengok harga, macam lebih kurang di Malaysia je. 



Satu lagi brand Jepun yang sangat popular, SK II. Kedai-kedai biasa pun ada di jual produk SK II. Kat sini brand SK II merupakan brand yang biasa-biasa je. 

Itu dia, Casio G-Shock. Brand jam yang menjadi kegilaan peminat sukan extreme kerana kelasakannya. Harga G-Shock di sini agak murah kalau di bandingkan dengan negara kita. Lebih murah dalam 30%. Bermacam-macam model G-Shock ada di pamerkan. 



Makanan atau  menu yang di pamerkan tu sebenarnya replika. Nampak menarik. 

Harajuku dipenuhi kedai-kedai yang menjual sourvenir. Tapi ketika kami sampai, kebanyakan kedai sudah mahu tutup, walaupun baru jam 8.00 malam. Pukul 8.00 malam mungkin sama dengan pukul 10.00 malam di Malaysia. Kami meneruskan langkah ke Shibuya.

Gerbang pintu masuk ke Harajuku.



Deretan menu crepes tu pun sebenarnya replika. 
Kami terjumpa kedai kebab halal milik orang Turki ketika melangkah ke Shibuya. Ini adalah premis makanan halal yang pertama kami jumpa di Tokyo dan tidak melepaskan peluang menikmatinya. Sebelum ini hanya makan bekalan yang di bawa dari Malaysia.  



Stesyen radio Shibuya. Memang open begitu.




Akhirnya kami sampai di Shibuya Crossing. Shibuya crossing adalah lintasan yang paling sibuk di Tokyo. Tempat ini di kelilingi oleh layar papan-papan iklan dan ia merupakan tempat yang wajib di kunjungi jika datang ke Tokyo. 





Kami sangat teruja bila sampai di sini. Dan kerana keterujaan itu, kami melintas beberapa kali melalui Shibuya Crossing. 
















Berhampiran pintu masuk stesyen  JR Shibuya, terdapat patung anjing yang diperbuat daripada gangsa.  Terdapat cerita menarik tentang anjing yang bernama Hachiko ini. Ia mengisahkan kesetiaan seekor anjing kepada tuannya. 
Hachiko adalah kepunyaan seorang pensyarah yang bernama Prof. Ueno. Setiap hari Hachiko akan menemani tuannya ke stesyen keretapi, dan akan menunggu tuannya pulang dari kerja pada sebelah petangnya di stesyen tersebut. Pada suatu hari, Prof. Ueno yang mengidap 'cerebral hemorrhage' telah meninggal dunia dan tidak lagi pulang seperti biasa. Tetapi Hachiko yang tidak tahu hal ini, dengan setianya tetap menunggu tuannya pulang dari kerja seperti biasa di stesyen Shibuya setiap hari. Hachiko dengan setianya terus menunggu setiap hari selama 9 tahun 9 bulan 15 hari sehingga ke akhir hayatnya. Hachiko mati pada 8 Mac 1935. Walaupun kisah ini telah lama berlalu, tetapi ia di kenang sehingga ke hari ini. Ia lambang kesetiaan perhubungan makhluk sesama makhluk. 
Kisah ini telah di filemkan. Judulnya 'Hachi: A dog's tale'. Dibintangi oleh Richard Gere. 






HARI KETIGA



Permandangan di sekitar belakang apartment yang kami sewa. Sangat mendamaikan. Pukul 5.45 pagi, fajar sudah menyingsing. 





Kami sarapan ala kadar. Makan bekalan yang di bawa dari Malaysia. Kat sini memang susah nak cari makanan halal. Destinasi seterusnya, Meiji Shrine. Sebuah taman di tengah Shibuya yang menempatkan kuil Shinto. 






Suasana di sini pada waktu pagi sangat nyaman. Taman ini agak lengang. Tidak ramai pengunjung. Ia lebih merupakan taman 'kerohanian' bagi orang-orang Jepun.














Ini adalah pintu masuk ke kuil. Kebanyakan gerbangnya berbentuk seperti ini. Kami tidak pasti sombolik di sebalik bentuk gerbang yang sebegitu.








Dibawah pokok ini, tempat pengunjung-pengunjung membuat hajat. Hajat akan di tulis pada kertas dan di gantung pada deretan penyangkut di bawah pokok. 








Kami menyusuri taman ini sehinga berjumpa kawasan ini. Kawasan padang datar yang mempunyai permandangan yang sangat menarik. Kami agak kawasan ini masih lagi di dalam kawasan Meiji Shrine.





Kawasan ini seperti taman di dalam bandaraya. Bayangkan, di tengah-tengah bandaraya, wujudnya taman seperti ini dengan alur sungainya yang masih terpelihara. Sampah memang confirm tak ada la. Kesedaran orang-orang Jepun tentang alam sekitar sangat tinggi. 























Yoyogi Park, merupakan  taman yang sangat luas di Tokyo. Ia bersambung dengan Meiji Shrine. Di dalamnya terdapat pohon-pohon Sakura. Tetapi sayang, ketika kami di sini, musim Sakura akan berkembang sepenuhnya dalam masa beberapa hari lagi. 

Yoyogi Park dan Meiji Shrine dari pandangan atas. Betul-betul di tengah bandaraya. Gambar ihsan Google.





















Lagi kedai kebab. 

Kami akhirnya terjumpa kedai masakan Malaysia di kawasan Shibuya dengan bantuan google map. Baru 2 hari tak jumpa masakan Malaysia, dah rasa rindu semacam. Dan selama 2 hari itu juga kami hanya makan kebab dan Onigiri untuk mengalas perut. Tak boleh jadi ni.  







Kedai ini mendapat sambutan yang baik di kalangan orang-orang Jepun.





Menu di sini kebanyakannya berharga 1000 yen, bersamaan RM37 ketika ini. Jangan compare dengan KL, standard la, ini Tokyo. Dan Fahmi bermurah hati menaja lunch kami. Terima kasih Fahmi, moga murah rezeki. Perkh, memang nikmat. 




Nasi goreng RM37. Rasanya memang sedap. 
Kami melintasi sekali lagi Shibuya Crossing. Memang orang sentiasa penuh siang dan malam. 





Agenda seterusnya, Nerima. Tarikan di sini adalah Upgarage. Tempat ini di 'high rekomenkan' oleh Fahmi, oleh kerana dia adalah peminat tegar aksesori kereta. Kami hanya follow jer. 

Upgarage merupakan kedai menjual aksesori kereta 2nd hand. Walaupun 2nd hand, conditionnya masih tip top.  










Bermacam-macam aksesori kereta ada di jual disini. Sesetengahnya kelihatan masih baru. Upgarage ni memang terkenal di kalangan penggemar aksesori kereta. 






Kami meneruskan langkah ke Shinjuku. Shinjuku juga merupakan bandar komersial yang di penuhi dengan gedung membeli-belah jenama yang terkenal. Stesyen JR Shinjuku merupakan stesyen keretapi yang paling sibuk di dunia. 








Bandar Shinjuku juga menempatkan beberapa headquarters (HQ) jenama terkenal termasuklah Orient Watch, Seiko Epson dan Olympus Corporation. Kami terjumpa kedai elektronik bernama 'Akky' yang menjual jam tangan Orient yang pada kiraan saya sangat murah jika di bandingkan di KL.   


Berbagai model jam tangan jenama Orient di jual di sini dan harganya sangat murah. Sebagai contoh jam tangan Orient seperti model di bawah ini. Saya pernah ternampak di KT, harganya RM1100 sebelum less. ( Kebiasaannya jam tangan di Malaysia memberikan potongan 20%). Di sini harganya 14900 Yen bersamaan RM551.85 ketika ini. Memang murah!! Mungkin kerana HQ Orient Watch terletak di sini ( Shinjuku ). Dan kerana kemurahan itu, pada malam last sebelum balik ke Malaysia, kami borong sakan jam tangan Orient kecuali saya.  Bahar beli 3 bijik, Nash beli 2 bijik, dan Fahmi borong sampai 7 bijik!! Saya dah ada banyak jam tangan, kalau tidak, saya mungkin terbeli juga.
















Ini adalah kawasan Ginza. Di sini terletak butik-butik berjenama 'high class'. Wako store di bawah ini merupakan mercu tanda di sini. Kebanyakan kedai sudah tutup, sebab kami sampai di sini sudah agak lewat. Lewat bagi waktu Tokyo. 


Sebelum balik ke penginapan, kami sebenarnya ke Meguro River. Ia adalah taman awam Sakura. Tetapi ketika kami pergi, musim Sakura baru nak bermula, so kawasan taman gelap gelita. Memang tak ambil gambar. Kalau search kat Google Image ' Meguro River Tokyo', permandangannya memang sangat cantik. 
Balik rumah, penat satu badan, sebab banyak berjalan. Penat tapi puas. 



HARI KEEMPAT


Hari ini adalah hari last kami di sini. Sekejap pulak rasanya, dah nak balik. Flight kami lewat malam, so ada masa lagi sambung penjelajahan. Kami check-out pagi-pagi lagi. Yang kelakarnya, sampai sudah kami tidak kenal tuan rumah kami. Kunci rumah, kami letak dalam peti surat, kemudian hantar mesej pada tuan rumah. 






Ketika ini hujan renyai-renyai, suhu drop sehingga 7 darjah Celcius!! Sangat sejuk. Menggigil rasanya. Tangan memang sentiasa kena sorok dalam poket. Kalau tak, rasa kebas semacam. Hari terakhir ni, kami pusing-pusing sambil intai sourvenir untuk bawa balik ke Malaysia. 


Kami pergi sekali lagi ke Akihabara, dan Fahmi borong jam lagi. Kali ini jenama Casio. Saya juga ada beli seutas jam tangan jenama Casio Baby-G untuk puteri tersayang. Harga RM200, kalau kat Malaysia harganya RM300++.

















Kami mengunjungi Harajuku untuk kali last. Cari sourvenir. Kat Tokyo ni, sourvenir agak mahal. Fridge magnet yang biasa-biasa pun berharga 200 yen ( RM7.40 ) satu.


Harajuku sentiasa sesak dengan pelancong terutamanya di Takeshita Street. Tempat ini di penuhi dengan gerai yang menjual sourvenir. Walaupun cuaca sangat sejuk, tapi awek-awek Jepun selambanya jer pakai skirt. Macamana la dia orang boleh tahan. Dah imun agaknya. 





Cuaca yang sejuk begini, lagi la cepat terasa lapar. Di Takeshita Street ada satu kedai kebab milik orang Uzbekistan. Kedai ini di tingkat atas. Kami terperasan bila terlihat ada seorang lelaki Jepun pegang banner di tepi jalan, "HALAL KEBAB". Tapi yang hairannya kebanyakan kedai kebab 'Halal' di Tokyo turut menjual arak. Saya memesan kebab daging, tapi penjual tu kata hanya ayam halal. Kebab daging tak halal. Pulak! 




Rice with kebab. 
Kami meneruskan langkah ke Ueno. Ueno terkenal sebagai bandar yang penuh dengan kebudayaan. Di sini terletaknya Tokyo National Museum, tapi kami tak pergi. Ueno juga merupakan tempat asalnya Yoshida Watch Shop, yang di asaskan oleh Shogoro Yoshida pada 1901 dan hari ini di kenali sebagai Orient Watch Co. Ltd. Di sini lah jam tangan Orient di 'lahirkan'. 
Dengan bantuan Google Map, kami mencari masjid Ueno. Sebenarnya ia adalah Community Centre dan masjid di dalam bangunan ini lebih kepada surau kalau di Malaysia. Dari maklumat yang di perolehi, di sini juga ada di dirikan solat Jumaat. 


g



Stesyen JR Ueno. Di sini ada kedai Hard Rock Cafe ( Rock Shop)

Tiba masa untuk pulang ke Malaysia. Flight kami berlepas pukul 10.45 malam waktu Tokyo. Melilau dekat Haneda Airport, sempat beli beberapa sourvenir lagi, menghabiskan Yen yang tinggal. Cuaca yang sangat sejuk, badan penat sebab banyak berjalan, buatkan badan rasa nak demam pun ada. 










Kami meninggalkan bumi Tokyo dengan perasaan puas. Dapat menjejakkan kaki ke tempat orang, melihat budaya orang merupakan suatu rahmat. Seorang pendakwah pernah berkata, di Malaysia orang Islam ada, tapi Islam tiada. Di Jepun, orang Islam tiada, tapi Islam tu ada. Ternyata ianya memang benar. 
Semoga kami sampai lagi ke sini. Insya Allah.