Sunday, 9 October 2016

Raya haji dan daging qurban

Assalamualaikum W.B.T,



Ketika saya kecil, ada dua peristiwa penting yang di tunggu-tunggu. Yang pertama adalah hari raya puasa, dan yang kedua adalah hari raya haji. Ini kerana pada hari raya puasa kami akan mendapat pakaian baru dan kasut baru ( sebenarnya kasut sekolah baru, yang dijadikan kasut raya.  Kerana menurut ibu selepas raya boleh di pakai untuk ke sekolah ). 

Raya haji adalah peristiwa kedua yang di tunggu-tunggu kerana pada hari ini lah kami berpeluang merasa daging percuma. Ketika kami kecil, daging lembu adalah makanan orang kaya, yang jarang-jarang kami berpeluang menikmati. Ketika itu kami langsung tidak ambil kisah tentang kaitan raya haji dengan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Apa yang kami tahu adalah daging percuma.  

Ketika itu juga, tidak ramai orang yang mampu atau berpeluang menyertai ibadah qurban. Sebuah kampung mungkin seekor atau dua ekor lembu sahaja yang tumbang. Walaubagaimanapun kami tetap bersyukur, meskipun daging yang kami perolehi hanya lah sebesar penumbuk budak. 







Zaman telah berubah. Tiada lagi istilah orang fakir. Miskin, ada, tapi tak ramai. Tiada lagi budak-budak beratur panjang menunggu secebis daging. Kebanyakan orang telah mampu menyertai ibadah qurban sekurang-kurangnya satu bahagian. Daging bukan lagi makanan golongan kaya. 


Di kampung mertua saya contohnya, Kg. Bukit Chatak, Nibong, Dungun, setiap kali hari raya Qurban, berbelas-belas ekor lembu tumbang. Padahal kampung mertua saya hanyalah pecahan kampung kecil di dalam satu daerah yang besar. 






Apa yang saya suka di sini, setiap kali musim korban, AJK Qurban akan di bentuk. Semua urusan korban, pemilihan lembu akan di lakukan oleh AJK yang terlibat. Semuanya berjalan dengan sistematik. 





























Alhamdulillah pada tahun ini, saya dan ipar duai diizinkan Allah untuk menyertai ibadah Qurban. Tahun ini lebih meriah, kerana kami berpakat 7 orang untuk mengambil seekor lembu terus, iaitu 7 bahagian korban. Urusan pembahagian menjadi lebih mudah.  








Disebalik ibadah ini, terjalinnya ukhwah antara ahli-ahli keluarga besar kami. Peluang yang jarang-jarang ada. 


Di sebalik kemeriahan ini, terselit rasa syahdu. Kerana ketika ibadah ini berlangsung, ayah baru 10 hari pergi mengadap Ilahi. Seperti ada kekurangan. 








Alhamdulillah, ibadah Qurban selesai dengan sempurna. Semoga diberi peluang lagi oleh Allah  pada tahun akan datang. Insya Allah.