Tuesday, 13 October 2015

Krabi...




Assalamulaikum w.b.t,



Sering kali orang bercerita tentang Krabi. Keindahan pulau-pulaunya dan segala macam hidupan marinnya. Kami pernah ke Pulau Redang, dan sesungguhnya kami teruja dengan keindahan taman lautnya. 
Alhamdulillah, kami diizinkan Allah untuk menjejakkan kaki ke sana. Percutian kami bermula pada 7 Oktober dan berakhir pada 10 Oktober 2015. Dan seusai solat subuh, perjalanan kami pun bermula, menyusuri LPT2 seterusnya LPT. 





Singgah di hentian Temerloh, menyelesaikan urusan-urusan yang perlu dan sarapan. Cuaca masih pagi benar. 






Budak kecik ni paling teruja nak naik kapal terbang. Padahal ini bukan lah kali pertama baginya. 



Pada mulanya kami ingin park kereta di KLIA2, tetapi kosnya agak mahal dan tidak munasabah bagi kami. Selepas mengintai blog orang lain, cara alternatif yang paling menjimatkan, parking sahaja di Park & Ride, Putrajaya Sentral, semurah RM4 untuk sehari. Kemudian ambil train menuju ke KLIA2. 







Perjalanan ke KLIA2 dengan ERL dari Putrajaya Sentral mengambil masa kira-kira 20 minit. Dan lagi sekali budak kecik ni teruja. 



Ketika ini keadaan udara di Malaysia masih lagi di landa jerebu. Risau juga kalau-kalau penerbangan di batalkan. 





Alhamdulillah, kami mendarat dengan selamat di bumi Krabi. Penerbangan lancar walaupun debu jerebu ditiup angin hingga ke Krabi. 


Kami terus ambil teksi menuju ke Pantai Ao Nang. Tambangnya dalam THB600. Standard harga pelancong. Berdasarkan maklumat dari kawan-kawan, bandar Krabi tidak lah begitu menarik, tetapi pantai Ao Nang sebenarnya yang membuatkan kawasan ini menjadi begitu terkenal. 


Uniknya orang Thailand, kebanyakan wajah mereka seperti orang Melayu, tetapi bahasa pertuturan sangat berbeza. Dan kerana bahasa itu lah, komunikasi kami agak terbatas. 





Permandangan sekitar jalan menuju ke Ao Nang. Tidak ada beza dengan Malaysia.


Kami menginap di Pavilion Queens Bay Hotel. Hotel yang sangat berbaloi dari segi harganya. RM367.98 untuk 4 hari 3 malam. Atau RM106.77 untuk satu malam. 



Alhamdulillah, biliknya sangat besar, satu katil queen dan satu katil single. Bilik airnya dilengkapi dengan tab mandi. Saya fikir kalau di Malaysia, mungkin harganya tiga kali ganda untuk satu malam. 




Permandangan dari balkoni. 

Botol air mineralnya sangat unik. 




Pandangan luar Pavilion Queens Bay. 




Petangnya kami mengambil peluang pusing-pusing di pantai Ao Nang. Dengan bahasa lainnya, ambil angin. 


Sememangnya Ao Nang adalah kawasan yang tepu dengan pelancong. Saya kira sumber ekonomi di sini adalah pelancongan. Dan kebanyakan pelancong adalah 'Mat Salleh'.  








Terpandang sahaja gerai ini, sekilas saya teringat pesan sahabat yang pernah berkunjung ke sini, agar mencuba pancake pisang 'Made in Krabi'. Dan apa yang bermain di fikiran ia adalah sejenis lempeng. Tetapi agakan itu meleset. Ia adalah roti canai pisang, yang di sapukan coklat nutella di atasnya. Begitu lah, lain tempat, lain panggilannya. Rasanya boleh tahan. 








Kami naik tut tut untuk pulang ke hotel. Sebenarnya ia adalah motosikal yang di ubahsuai. Pemandunya memang professional, memandangkan jalannya yang agak sibuk. Tidak boleh saya bayangkan, motosikal kapcai yang berkuasa 110 cc di gunakan untuk menarik beban seberat itu. 


HARI KEDUA




Waktu pagi di Ao Nang agak sunyi. Saya melilau mencari sarapan. Kami memang tidak ambil sarapan di hotel kerana makanannya memang tidak halal. 
Alhamdulillah, terjumpa gerai orang Islam walaupun tidak ada peluang untuk bertanyakan nama kuih kerana masalah bahasa. 


Alhamdulillah, rezeki kami pagi ini. Nasi beriyani mungkin, dan kuih tradisional Thailand. 

Selepas sarapan, kami bersiap untuk ke pulau-pulau ke sekitar Ao Nang. Itu adalah agenda wajib jika anda berkunjung ke Krabi. 




Pemandu pelancong group kami namanya Mr. Joe. Sangat kelakar dan peramah. Dia sentiasa menggelarkan dirinya sebagai Mr. Joe 'King of the Sea'. Boleh cakap Melayu. Menurut Mr. Joe, perkataan Krabi bermaksud pedang.











Viking cave




Krabi sememangnya terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya dan permandangan yang sangat cantik. Tetapi, sayang, ketika ini jerebu sedang melanda. Kebiruan langitnya tidak dapat kami nikmati. 














Singgah di Maya Bay. Lokasi ini pernah di jadikan tempat shooting filem The Beach lakonan Leonardo di Caprio. 


Kawasan ini memang padat dengan pengunjung, tetapi tak banyak gambar yang boleh di kongsikan. Kerana pelancong kebanyakannya berpakaian mandi kecik. 










Lunch di sebuah resort di Phi Phi Island. 






Budak kecik ni tewas akhirnya. 
Kami singgah snorkeling di dua tempat. Sejujurnya, jika di bandingkan dengan Pulau Redang, saya kira Pulau Redang jauh lebih cantik taman lautnya. Kebanyakan batu karang di sini telah mati. Info dari Mr. Joe, batu karang di sini kebanyakannya telah musnah ketika Tsunami pada tahun 2004. Ambil masa untuk pulih semula. 





Masing-masing keletihan, bermain air dan mabuk laut. Langkah terasakan seperti beralun. 





Malamnya kami makan malam di restoren Hasna. Banyak sebenarnya restoren halal di Krabi. Kami memilih restoren ini kerana ia di cadangkan oleh ramai orang yang pernah berkunjung ke Krabi. 

Menu yang kami pilih. Portion untuk setiap hidangan agak banyak. Semuanya THB880. Agak mahal, mungkin kerana kawasan pelancongan.




Kami meneruskan lagi aktiviti ronda-ronda sekitar Ao Nang. Keadaan malam di sini sangat 'happening'. Tetapi bagi saya, Ao Nang bukan lah tempat sesuai untuk shopping. Tidak banyak pilihan di sini. Kebanyakannya adalah barang cenderahati dan harganya agak mahal. Ketika ini pula mata wang Ringgit agak merudum. 1 ringgit bersamaan dengan THB8. Makin la terasa mahalnya. Dulu 1 ringgit bersamaan THB10. 






HARI KETIGA


Hotel kami agak jauh dari pantai Ao Nang, (tempat tumpuan pelancong), kira-kira 10-15 minit berjalan. Saya mengambil keputusan untuk menyewa motorsikal. THB400 untuk 2 hari. Kami membonceng berempat. Di sini tidak ada penguatkuasaan undang-undang jalanraya. 





Saya pernah terbaca tips dari blog orang lain, jika mahu mencari makanan halal disebuah negara bukan Islam, cari lah masjid. Biasanya di situ ada gerai orang-orang Islam. Memang benar. Gerai ini berdekatan dengan masjid, ada tanda halal. Ada di jual pulut ayam goreng dan nasi lemak. Tapi nasi lemaknya berlaukkan kuah masak lemak. Sangat janggal rasanya. 


Agak senang untuk mengecam gerai orang Islam. Penjualnya bertudung, gerainya ada tanda halal. Biasakan bagi salam, dia orang akan menjawab salam kita dengan lancar tanpa pelat. Itulah kelebihan salam, tanda pengenalan orang Islam di seluruh dunia. 




Masjid Krabi


CIMB pun ada di sini. Just in case. Tapi kena aktifkan dahulu kad semasa di Malaysia


Pulut ayam goreng dan nasi lemak








Hari seterusnya, kali ini aktiviti masuk hutan. Kami akan di bawa melawat Hot Spring, Emerald Pool, Tiger Cave dan Elephant Trekking. 

Van yang di sediakan oleh agen.
Perjalanan hari ini agak jauh. Pihak agen menyediakan van untuk membawa kami ke tempat-tempat tersebut. Destinasi yang pertama adalah hot spring ataupun kolam air panas semulajadi. Apa yang ada di gambaran fikiran saya, semestinya ia adalah kolam air panas yang luas. Kerana ini adalah salah satu tarikan pelancong. 






Dari pintu masuk ke kawasan kolam jaraknya hampir 1 kilometer. Ada laluan khas yang dibina untuk ke kawasan ini. 





Anggapan saya meleset sama sekali. Kawasan kolam air panas ini agak sempit. Bilangan pelancong pula agak ramai. Agak lucu bila melihat pelancong asing yang berpusu-pusu turun ke kolam. 








Destinasi seterusnya ini menjadi sebutan di kalangan pelancong yang pernah berkunjung ke sini. Ia semestinya Emerald Pool. Kolam semulajadi yang wujud di tengah hutan. 





Kawasan ini agak terpencil. Untuk ke kawasan ini harus berjalan kaki sejauh lebih 1 kilometer. Melalui denai yang berbatu. 





Ini lah kawasannya. Subhanallah, kolam yang sebegini indah wujud di tengah hutan belantara. Airnya membiru dan jernih. Seperti tidak ada langsung tanda-tanda di cemar. 





Kolam ini terbentuk dari mata air semulajadi yang mengalir dari perbukitan. Air dari kolam ini pula akan melimpah mengalir keluar ke anak sungai. Ini membuatkan kolam ini sentiasa jernih. 





Kawasan ini sentiasa di penuhi dengan pengunjung. Di tengah keterikan matahari, memang sesuai berendam di sini. Rugi pula rasanya tak bawa pakaian mandi. 














Aktiviti seterusnya ke Tiger Cave Temple. Saya sebenarnya tidak berminat untuk mengunjungi temple ini. Tetapi memandangkan ia termasuk di dalam pakej, kami hanya layan sekejap. Seperti ada perasaan tidak selesa ketika berada di kawasan ini. Lain pengunjung mungkin lain perasaannya. Cuma yang menariknya di sini, ada tangga yang menuju ke puncak bukit. Pengunjung perlu mendaki 1237 anak tangga untuk ke puncak dan menikmati permandangan dari atas. 





Aktiviti yang paling di tunggu anak-anak. Elephant trekking. Kami di bawa menaiki gajah mengelilingi kawasan ladang yang mengambil masa lebih kurang 1 jam. Agak gentar juga berada di belakang gajah kerana hentakan kakinya hingga terasa gegarnya. 









Pelancong juga di beri peluang untuk menunggang sendiri gajah. Saya tak ambil peluang tersebut kerana tak berani. Gajah-gajah di sini memang jinak. Mungkin telah di latih begitu. 




Aktiviti beri makan gajah. 


Petangnya pusing-pusing lagi pantai Ao Nang hingga kami terjumpa deretan gerai yang menjual pan cake atau roti canai sebenarnya. 


Di gerai-gerai ini lebih banyak pilihan pan cake yang ada. Bermacam-macam jenis rasa. Sebenarnya kalu di ambil kira dari segi harganya, agak mahal bagi saya. Seperti yang saya beritahu, mungkin kerana kawasan ini adalah kawasan pelancongan. 





Malamnya kami dinner di sebuah warung berdekatan masjid. Saya pun sudah lupa nama kedainya. Masakannya okay cuma portion untuk setiap hidangan agak sedikit. Di Krabi, tomyamnya adalah terbaik bagi saya. Memang logik, kerana tomyam sememangnya berasal dari Thailand. 





Pusing-pusing lagi di sekitar Ao Nang, mencari sourvenir sebagai tanda kenangan. Tapi bagi saya, rata-rata barang-barangnya agak mahal. Tipikal kawasan pelancongan, memang sebegini. 


HARI KEEMPAT


Hari ini adalah hari terakhir kami di sini. Sebelum pulang, pergi beli sarapan terdahulu. Ronda-ronda terjumpa kedai nasi kerabu ini. Ramai kawan-kawan yang pernah berkunjung ke sini mencadangkan agar cuba nasi kerabu di Krabi. 







Kebanyakan kedai di sini ada menjual nasi beriyani dan bubur nasi. Seakan-akan ia adalah menu wajib di sini. 


Saya cuba nasi kerabu. Tetapi seperti tidak kena dengan selera tekak. Tidak seperti yang di gembar-gemburkan. Mungkin tidak kena dengan selera. Bagi saya, nasi kerabu di Kota Bharu jauh lebih sedap. Ataupun mungkin saya tersilap kedai. 








Tiba masa untuk pulang ke Malaysia. Insya Allah kalau ada rezeki atau peluang, sampai lagi di sini. Bagi saya Krabi tidak banyak beza dengan kawasan pelancongan yang lain. Memang ia terkenal kerana keindahan pulau-pulau dan pantainya, tetapi tidak taman lautnya. Tsunami 2004 masih meninggalkan kesan pada karang-karang lautnya. Saya mencadangkan agar mengunjungi Pulau Redang atau Pulau Perhentian jika ingin melihat keindahan taman laut. Walaupun begitu, apabila kita mengunjungi ke bumi asing, sekurang-kurangnya kita dapat belajar budaya dan cara hidup orang lain. Selamat tinggal Krabi.