Assalamualaikum w.b.t,
Sepupu-sepupu memanggilnya dengan panggilan Mok Teh. Orang kampung pula memanggilnya Mok Teh Pe'e, untuk membezakan beliau dengan Mok Teh yang lain, kerana di kampung saya ada beberapa 'Mok Teh'.( Pe'e itu adalah singkatan nama ayah, Shaffiee. Saya tidak pasti bagaimana ejaan Pe'e yang betul berdasarkan sebutannya.) Arwah nenek suka memanggil beliau dengan panggilan 'Putih'. Dan sehingga kini saya tidak pasti dari mana arwah nenek mendapat nama itu, kerana itu bukan lah nama beliau yang sebenar. Orang kampung mengenalinya sebagai guru Quran. Dan saya akui beliau adalah guru Quran yang terbaik pernah saya berguru.
Semestinya saya memanggil beliau dengan panggilan 'mak' atau lebih tepatnya 'mok' mengikut slanga Terengganu, kerana beliau adalah ibu yang melahirkan saya. Mak adalah guru saya yang pertama. Mak mengajar saya segalanya. Daripada ilmu kehidupan dunia sehinggalah ilmu alam akhirat. Jika di tanya siapakah tokoh yang di kagumi, saya akan jawab 'mak' tanpa ragu.
Senyuman jernih mak yang sentiasa melekat dalam ingatan. |
Mak dan pokok bunga sangat sinonim. Inilah aktiviti mak di waktu senggang. Ketika saya sudah mampu mengingati, mak telah pun menjadi peminat tegar pokok bunga. Kadang-kadang terdengar mak bercakap sorang-sorang,....dengan pokok bunga sebenarnya. Biarlah mak dengan hobinya, asalkan dia bahagia.
Usia mak sudah senja benar. Tongkat menjadi teman. Kudrat tidak lagi sekuat dahulu. Pandangan tidak lagi setajam dahulu. Tapi masih mampu membaca Al-Quran. Suara bacaan itu lah yang sering saya rindu ketika di rantauan.
Apabila mak termenung, apa yang ada di fikiran mak terlalu abstrak untuk di tafsirkan. |
Benar kata orang, ketika tinggal dengan mak, kadang-kadang kita tidak perasan sebarang perubahan pada mak, atau kita buat-buat tidak perasan, sehingga kita tinggal berjauhan dan jarang-jarang bersua muka. Berlainan sekali dengan mak. Mereka ini terlalu peka dengan sebarang perubahan pada kita, hatta sekecil-kecil rasa nun jauh di lubuk hati. Itulah mak.
Semoga mak sentiasa di dalam lindungan Allah, dan sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan-Amin....
Terbaikk.. sentiasa hiburkn mak...
ReplyDeleteTerbaikk.. sentiasa hiburkn mak...
ReplyDelete