Wednesday, 26 August 2015

Cerita tentang manggis...

Assalamualaikum w.b.t,



Orang kampung saya panggil buah ini dengan nama mmete ( 'e' dibaca seperti sebutan 'e' dalam perkataan 'emak'). Bahasa bukunya adalah manggis. Pokok buah hitam yang manis ini semakin jarang di lihat. Jarang di tanam orang sekarang. 
Di rumah ibu saya, masih terdapat pokok buah ini. Masih kukuh berdiri. Sekaligus mengimbau kenangan pada arwah ayah. Ayah saya seorang yang sangat rajin bertanam. Hampir semua pokok buah-buahan yang ada di rumah ibu saya adalah hasil dari keringat arwah ayah. Dan apabila kami berada di dalam kebun ayah, memerhatikan pokok buah-buahan yang ada, semakin kuat ingatan kami padanya. 
Saya tidak pasti tahun bila ayah tanam pokok manggis ini. Seingat saya, sejak saya pandai panjat pokok, pokok ini telah pun ada. Mungkin umur pokok ini hampir seusia saya. 







Pokok ini semakin tinggi menjulang. Tidak lagi rendang seperti dahulu. Sudah tua benar usianya, tapi masih setia mengeluarkan buahnya. 


Dahulu, ketika kami kecil, pokok ini menjadi tempat kegemaran kami bermain. Panjat pokok, turun, panjat lagi. Sambil makan buah manggis yang menghitam. Tidak ada handphone, tidak ada ipad, tidak ada playstation. Tapi kami tetap seronok dan tidak pernah jemu. Walaupun aktiviti itu berulang-ulang. 











Pokok ini tidak lagi selebat dahulu. Dibawahnya di penuhi belukar yang merimbun. Lebih-lebih lagi sejak ayah pergi.
Tidak ada lagi kanak-kanak yang yang bermain panjat turun pokok. Buah-buahnya gugur begitu saja. Tidak ada lagi orang yang hiraukan. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja yang tak pernah habis.  





Saya melihat pokok manggis ini seperti simbol kasih sayang ayah pada kami. Ia seperti luahan rasa cinta ayah pada kami. Buktinya, walaupun ayah sudah tiada, tetapi kami masih lagi menikmati buah-buahan hasil dari tangan ayah. Subhanallah. 
Seolah-olah ia adalah kasih sayang yang sentiasa mengalir dalam jiwa kami.  





Rasa buah manggis ini masih seperti dahulu. Cukup lemak dan manisnya. Tidak lebih dan tidak kurang. Sekali lagi ingatan melayang pada arwah ayah. Dan ketika ini, air mata terasa begitu murah.........Al-Fatihah untuk ayah.


No comments:

Post a Comment