Assalamualaikum w.b.t,
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Segala puji bagi Mu ya Allah. Tuhan Yang Maha Agung. Syukur kepada Mu ya Allah, sesungguhnya kami adalalah insan yang terpilih, dijemput ke rumah Mu.
Kunjungan kami ke Mekah, pada mulanya bukan lah di rancang. Pada asalnya kami ingin bercuti ke oversea, bersempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke 10. ( Alhamdulillah). Tetapi, sesungguhnya Allah Maha Kaya, perancanganNya mengatasi segala-galanya. Terdetik di hati, kenapa tidak dizahirkan sahaja kesyukuran itu dengan mengunjungi Baitullah? Dan itulah idea mutakhir yang sangat bijak pernah kami putuskan.
Kami mendaftar dengan agen Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Alhamdulillah, servisnya sangat memuaskan. ( Kami tidak di bayar untuk mempromosikan agen ini, ia adalah dari hati kami yang ikhlas. )
Dan pada 20 April yang lalu, kami berangkat ke Tanah suci dari KLIA dengan Saudi Airlines. Apa yang menarik tentang flight ini, didalamnya ada disediakan tempat untuk sembahyang.
 |
Bergambar kenangan sebelum berlepas dengan mak dan kakak. |
 |
Berlepas dari Kuala Terengganu ke KLIA dengan MAS. |
Pakej yang kami pilih, adalah ziarah ke Madinah dahulu, kemudian ke Makkah untuk menunaikan umrah. Kami berlepas ke Madinah pada pukul 3.00 petang waktu Malaysia, dan selamat mendarat di Airport Madinah pada pukul 1.00 pagi waktu Malaysia atau pukul 8.00 malam waktu tempatan. Lebih kurang 10 jam. Agak lewat sedikit kerana pesawat kami singgah di Jeddah untuk menurunkan penumpang. Daripada info, hanya pesawat Saudi Airlines yang dibenarkan mendarat di Airport Madinah.
 |
Budak kecik yang tak habis-habis dengan gaya Ultraman. |
 |
Menu yang dihidangkan didalam penerbangan. Agak tawar. Setiap hidangan disertakan dengan paket garam kecil. |
Alhamdulillah, sampai juga kami ke bumi Madinah. Syukur pada Mu ya Allah. Pertama kali menjejakkan kaki ke sini, seperti ada suatu aura yang meresap ke dalam jiwa. Sukar di luahkan dengan kata-kata. Dan bumi Madinah ini adalah bumi yang sangat damai. Bumi yang di doakan oleh Rasulullah S.A.W.
 |
Subuh hari pertama di Madinah. Syahdu bercampur terharu. |
Penjaja-penjaja di depan masjid Nabawi memulakan operasi seawal awal, selepas solat Subuh. Dan bukan sesuatu yang menghairankan jika peniaga-peniaga ini bercakap bahasa Melayu. Kerana jemaah dari Indonesia adalah yang paling ramai di sini.
 |
Hotel Mubarak Silver. Tempat penginapan sepanjang berada di Madinah. |
 |
Bergambar di hadapan hotel sebelum program lawatan. |
Permandangan di sekitar Madinah pada waktu pagi. Sangat tenang.
Program hari pertama di Madinah, ziarah makam Rasulullah S.A.W. Ini adalah program wajib bagi sesiapa yang berkunjung ke Madinah.
 |
Di sini terletaknya makam Rasulullah S.A.W. Dibawah kubah hijau, terlindung oleh payung. |
Hari berikutnya, lawatan ke masjid Quba. Masjid ini menurut sejarah, adalah masjid yang pertama di bina oleh Rasulullah S.A.W. sebelum baginda sampai ke Kota Madinah ketika berhijrah dari Makkah. Masjid ini adalah paling suci selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
 |
Permandangan di dalam masjid. Sentiasa makmur dengan orang yang datang ziarah. |
Kemudian ke ladang kurma. Disini ada di jual berbagai jenis kurma, dan yang paling di di cari adalah kurma nabi atau kurma Ajwa. Menurut mutawif, kurma Madinah adalah yang terbaik. Dan harganya agak murah.
 |
Berbagai-bagai jenis kurma. Memang rambang mata melihat. |
Di sini sahaja, para jemaah menghabiskan beratus-ratus rial membeli kurma. Mungkin kerana teruja melihat kurma yang berbagai jenis.
Hari berikutnya lawatan ke Bukit Uhud. Tempat gugurnya para syuhada ketika perang Uhud. Mendengar penerangan yang di berikan oleh mutawif, rasa sebak hadir di dalam dada, mengenangkan para syuhada yang gugur kerana mempertahankan agama Allah.
 |
Mutawif sedang menceritakan tentang perang Uhud. |
Dan seterusnya shopping kurma lagi. Kali ini ke pasar kurma. Kurma di sini lagi murah daripada ladang kurma. Sekali lagi para jemaah berhabisan beratus-ratus riyal untuk membeli kurma.
 |
Kebanyakan pekerja di sini orang Indonesia. |
 |
Aneka jenis kurma. |
Hari berikutnya adalah aktiviti bebas. Jemaah masing-masing dengan aktiviti sendiri. Kami mengambil peluang untuk pusing-pusing sekitar Masjid Nabawi. Penduduk di sini sangat ramah terutamanya para peniaga. Menurut mutawif, para peniaga sukakan orang Malaysia. Almaklum la, orang Malaysia kan suka shopping.
 |
Beli kopi secawan, harga 8 riyal. Macam white coffee old town je lebih kurang. |
Kalau dah ke Madinah, mesti pekena nasi Arab. Menurut kawan saya, nasi Arab yang lazat mestilah dari bumi Arab. Memang logiknya begitu. Gaya bahasanya bercerita tentang nasi Arab membuatkan kami teruja untuk merasa nasi Arab original. Kawan saya itu, lulusan Timur Tengah. Dia seorang yang memang suka makan, erm... ada keraguan di situ.
Kami mengunjungi sebuah restoran nasi Arab berhampiran hotel. Pada mulanya kami memesan tiga pinggan nasi. Tetapi pelayannya yang berbangsa Bangladesh membetulkan, katanya orang Asia tak makan banyak seperti orang Arab. Dua pinggan sudah cukup. Dan sememangnya telahannya tepat. Dua pinggan nasi memang cukup untuk keluarga kami.
Berhadapan masjid Nabawi pun terdapat banyak kedai kecil yang menjual aneka nasi. Tapi saya tidak pasti sama ada ia nasi Arab atau nasi Bangla. Kebanyakan pekerja di sini berasal dari Bangladesh. Sejujurnya saya kagum dengan golongan ini. Mereka boleh menyesuaikan diri di mana sahaja mereka berada.
Permandangan di sekitar masjid Nabawi. Di penuhi dengan penjaja-penjaja yang menjual berbagai-bagai jenis kain. Daripada apa yang saya tahu, kebanyakan mereka berasal dari Afrika.
Di hadapan Masjid Nabawi juga kelihatan penjual yang menjual Al-Quran, dengan melaungkan wakaf! Wakaf!. Jika jemaah ingin wakaf Al-Quran di Masjid Nabawi sebaiknya menyerahkan urusan tersebut pada mutawif. Kerana hanya Al-Quran yang di beli kilang di sini sahaja boleh di wakafkan. Al-Quran yang di beli dari tempat lain dan di letakkan di dalam masjid akan di keluarkan semula oleh petugas.
 |
Penjaja wanita yang ber abaya hitam kebanyakannya dari Afrika. |
Solat fardhu di Masjid Nabawi sentiasa penuh dengan jemaah. Setiap kali azan dilaungkan, orang akan berduyun-duyun ke masjid. Permandangan yang hanya boleh di lihat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.
Hari terakhir kami di sini, saya mengambil peluang untuk ziarah ke makam Rasulullah S.A.W sekali lagi yang terletak di Raudhah, di dalam Masjid Nabawi. Saya datang seawal sejam sebelum Subuh dengan harapan dapat memasuki kawasan Raudhah. Tetapi hampa, pintu ke Raudhah atau Babussalam telah dipenuhi dengan jemaah. Saya agak, jemaah-jemaah ini bermalam di sini. Seingat saya, hanya sekali saya berpeluang sembahyang sunat di Raudhah. Selesai solat Subuh, saya teruskan juga niat saya. Orang memenuhi ruang. Alhamdulillah, walaupun tidak dapat masuk ke Raudhah, saya berpeluang lalu di tepi makam Rasulullah S.A.W. untuk melafazkan salam yang terakhir sebelum kami meninggalkan bumi Madinah. Terasa bergenang air mata. Pilu dan syahdu.
 |
Jemaah memenuhi ruang. |
 |
Makam Rasulullah S.A.W. Di sisinya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. |
 |
Dibawah kubah hijau inilah terletaknya makam Rasulullah S.A.W. |
Berhadapan makam Rasulullah S.A.W terletaknya perkuburan Al-Baqi' atau di kiri Masjid Nabawi. Di sini lah terletaknya makam Ahlul Bait, para sahabat dan pengikut Rasulullah S.A.W. Perkuburan di sini sangat ringkas, tidak ada batu marmar atau ukiran yang menghiasinya. Semua kubur kelihatan sama.
 |
Permandangan kubah hijau dari perkuburan Al-Baqi'. |
Menurut mutawif, harga payung ini sekitar USD100,000 setiap satu. Ia akan terbuka dengan sendirinya apabila matahari terbit.
Sebelum meninggalkan bumi Madinah, kami bergambar kenangan di hadapan Masjid Nabawi. Semoga di jemput lagi ke sini, Insya Allah.
Kami meninggalkan bumi Madinah dengan perasaan yang sukar kami terjemahkan melalui kata-kata. Pilu, sedih, syahdu dan bermacam lagi perasaan. Tetapi perasaan itu kami telan begitu sahaja bila teringatkan yang kami sedang menuju ke Kota Makkah, untuk menunaikan ibadat umrah. Dan sememangnya itulah niat utama kami. Kami pasti akan merindui Kota Madinah.
 |
Mutawif sedang memberikan penerangan tentang ibadat Umrah. |
Permandangan sepanjang perjalanan ke Kota Mekah.
Berhenti di Masjid Bir Ali. Miqat kami yang pertama, iaitu tempat kami berniat umrah yang pertama. Ditengah perjalanan dari Madinah ke Mekah.
Masjid Bir Ali ini penuh dengan jemaah umrah dari pelbagai negara. Melihatkan suasana yang unik ini, keterujaan kami untuk menunaikan umrah semakin kuat.
Kami sampai di Mekah lebih kurang pukul 10.00 malam dan selepas rehat sejam kami terus melakukan ibadat umrah yang pertama. Apabila melihat saja Kaabah di depan mata, perasaan kami bercampur baur. Sedih, sebak, teruja. Alhamdulillah, sampai juga kami di sini akhirnya. Sesungguhnya kami adalah tetamu yang terpilih. Dan kebanyakan jemaah mengalirkan air mata.
 |
Perkarangan Masjidil Haram pada pagi besoknya. |
Masjidil Haram masih lagi 'under construction'. Menurut mutawif, ia akan siap sepenuhnya menjelang 2020.
Masjidilharam sentiasa sesak dengan jemaah sepanjang masa. Semua orang akan berebut-rebut untuk berjemaah dan memilih saf yang paling hadapan. Tidak ada pengecualian.
 |
Hotel Hilton. Tempat kami menginap. |
Ziarah ke Jabal Rahmah. Tempat pertemuan Nabi Adam A.S dan Siti Hawa. Ramai orang percaya di sini tempat untuk berdoa memohon jodoh. Di atas bukit itu ada batu penanda, dan ramai jemaah menulis nama di atas batu bersama nama pasangan supaya di temukan jodoh. Saya agak keliru, masih ada unsur syirik di Tanah Haram. Kami tidak panjat ke atas, kerana kesihatan tidak mengizinkan, tambahan lagi ada anak kecil bersama. Saya pun tidak berminat untuk berdoa memohon jodoh, cukuplah dengan seorang isteri.
Lucu juga melihatkan jemaah lelaki yang sudah berkahwin, beria-ria berdoa di atas sana. Dan para isteri sibuk menanyakan suami masing-masing, apa yang di doakan di atas sana. Errm, poligami masih lagi menjadi phobia dalam masyarakat kita.
 |
Padang Arafah. |
Inilah tempat bermulanya Saie. Tidak banyak gambar yang di ambil ketika menunaikan ibadat umrah. Saya menggunakan kamera, orang Arab agak jengkel jika kita mengambil gambar dengan kamera. Saya pun tidak faham mengapa mereka agak phobia dengan kamera, tetapi tidak dengan kamera telefon.
 |
Safa, tempat bermulanya saie. |
 |
Tempat di sunatkan berlari-lari anak. |
 |
Bukit Marwah, tempat berakhirnya saie. |
 |
Masjid Tanaim, Tempat miqat yang paling popular, lebih kurang 5 km dari Mekah. |
Masjid Tanaim adalah tempat miqat yang paling popular. Mungkin kerana faktornya paling dekat jika dibandingkan tempat miqat yang lain. Diperkarangan masjid ini terdapat sekumpulan burung merpati berkeliaran, tapi anehnya tidak ada langsung najisnya. Subhanallah.
 |
Kren bertebaran. Masih lagi under constuction. |
 |
The Abraj Al-Bait Towers atau juga dikenali juga Makkah Royal Clock Tower. |
 |
Bertemu sahabat lama yang berkerja di Mekah. Sesungguhnya semua itu dalam perancangan Allah. |
Hari seterusnya lawatan ke muzium yang mempamerkan sejarah Baitullah dan segala perkakas yang berkaitan dengannya.
 |
Inilah gambaran Masjidil Haram apabila siap sepenuhnya nanti. |
 |
Pintu ke Kaabah. |
 |
Pancur emas |
 |
Alat untuk menenun kiswah iaitu kelambu Kaabah. |
 |
Besi yang menutup Hajarul Aswad. |
 |
Inilah mutawif kami yang sangat sporting. Ustaz Meor Syafiq. |
 |
Al Quran edisi terawal. |
 |
Timba lama yang pernah di gunakan di perigi Zam Zam. |
Seperti juga di Madinah, sentiasa ada orang meninggal di sini. Dan setiap selepas sembahyang fardhu, akan ada solat jenazah. Para jemaah akan berebut-rebut untuk mengusung jenazah. Saya sempat mengambil gambar ketika jenazah di usung, dan seperti biasa, pak Arab akan menegur kerana menggunakan kamera.
 |
Suasana selepas Subuh. |
Hari terakhir di bumi Mekah, sebelum tawaf wida', kami sempat mengabdikan kenangan di Masjidi Haram. Selepas tawaf Wida', tidak lagi boleh mengambil gambar, kerana ia adalah salah satu larangan sehingga kita keluar dari Tanah Haram.
Kami meninggalkan bumi Mekah dengan perasaan sayu. Dan perasaan itu diselangi dengan perasaan sedih, terharu, dan berbagai-bagai lagi perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Suasana itu menyelubungi kebanyakan jemaah ketika perjalanan ke Airport Jeddah. Saya fikir mereka juga mengalami perasaan seperti saya. Semoga ibadat umrah kami di terima Allah. Kami berdoa semoga kami akan sampai lagi ke sini. Insya Allah.
 |
Souvenir daripada Saudi Airlines. |